Ramadhan Buat Diriku
Assalamualaikum...
Setelah berbulan2 blog ni dibiarkan terbiar, dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap blog ni, maka, pada malam ini, jari-jemari ini kugagahkan jua untuk mencoretkan satu cerita buat tatapan semua meskipun mata sudah berat meminta-minta untuk ditutup, maklumlah, beraya sakan pagi tadi. Nasib tak pengsan je tadi. hehe. Anyway, taknak cakap banyak, so enjoy your reading! :)
Ramadhan Buat Diriku
9 Julai 2013Hari ini merupakan hari yang paling gembira dalam hidup aku kerana pada hari esok aku akan dikunjungi Ramadhan yang telah lama aku nantikan. setelah mendapat berita tentang kedatangannya untuk berjumpa denganku, aku berasa sungguh tidak sabar untuk menyambutnya. Segala persiapan telah aku lakukan supaya aku dapat berjumpa dengan Ramadhan dalam keadaan yang terbaik.
10 Julai 2013
Ramadhan tiba lebih awal dari yang aku jangkakan. Tapi tak mengapa. Aku lagi suka. Siapa sangka aku masih berpeluang untuk bertemu lagi dengan Ramadhan setelah setahun tidak bersua muka dengannya. Sejak dari awal Ramadhan datang, sehinggalah pada saat aku tulis diari ini, tidak dapat kugambarkan betapa gembiranya hati ini. Azamku, ingin kuperangi Ramadhan habis-habisan agar tahun ini aku tidak lagi kalah kepadanya. Hebatnya Ramadhan.
29 Julai 2013
Hari ini telah genap 20 hari Ramadhan bersamaku. Dan kehidupanku semakin sibuk. Melihatkan keadaanku yang tidak terurus dan sentiasa mengeluh keletihan, lalu Ramadhan menegurku, "Letihkah kamu? Tidakkah kamu ingin sangat bertemu denganku? dan sekarang, setelah aku datang bersua muka denganmu, kamu mengeluh mengatakan kamu letih bersamaku? Sejauh manakah penantianmu terhadapku sebenarnya? Adakah sekadar menantikan aku datang agar aku melihat segala kelalaianmu?" Aku hanya diam membisu. Lalainya aku.
7 Ogos 2013
Masa berlalu dalam sekelip mata, tersangatlah cepat lagaknya, entah apa yang dikejarkannya. Petang tu Ramadhan bersiap-siap untuk pergi. Saat Ramadhan hendak pergi, kutahan dirinya lalu bertanya, "Mahu ke manakah kamu?" Ramadhan menjawab, " Maaf. Aku harus pergi, mungkin lama dan mungkin jugak aku tidak akan kembali lagi menemuimu. Pesanku padamu, ajaklah Sabar untuk menemani hari-hari dukamu, peluklah Istiqamah saat dirimu kelelahan dalam perjalanan Taqwamu. Ingatlah pada Iman dan peganglah ia seerat-eratnya saat dirimu lalai dalam keinsafan.Itupun Syawal telah tiba.. maka aku harus pergi sekarang. Selamat tinggal." Syawal datang menghampiriku manakala Ramadhan pergi meninggalkan aku. Aku lihat dirinya yang semakin menjauh dariku.. ya, dirinya makin jauh seakan-akan ia tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya.. Hatiku berbisik, " Ya Allah.. Masih adakah peluang untuk aku bertemu Ramadhan lagi? Berikanlah aku kesempatan untuk bertemu dengannya lagi. Sungguh, aku ingin bertemunya lagi pada tahun depan. Amiin.. " Sesudah itu, kujemput Syawal masuk.
0 comments
Please DO NOT post comments containing profanity, sexual terms, or other inappropriate content (including politics, cheats, hacks, and password scams)